Sāṅkhya Darśana Falsafah_India

Pengenalan

Menurut golongan orthodoks, sistem ini diasaskan oleh Kapila Muni (vide Bhāgavata 3.25-33). Teks yang masih wujud yang dipercayai ditulis oleh Kapila ialah Sāṅkhyasūtra. Kitab ini mengandungi enam bab dan 526 sūtra. Sebuah ulasan Sāṅkhyasūtra telah ditulis oleh Vijñānabhikṣu (kurun ke-16 Masihi) yang dinamakan sebagai Sāṅkhya-pravacana-bhasya.

Tradisi falsafah Sankhya telah diperkembangkan dan disebarkan oleh Asuri, pengikut Kapila dan pengikutnya Pañcaśikha. Beberapa sūtra Pañcaśikha telah diungkap dalam Vyāsabhāṣya mengenai Yogasūtra Patañjali (200 S.M.). Namun, teks penuhnya masih belum ditemui.

Setakat ini, teks awal dan boleh dipercayai mengenai falsafah ini ialah Sāṅkhyakārikā oleh Īśvarakṛṣṇa (kurun ke-5 Masihi). Teks ini mempunyai 70 stanza dan oleh itu, kadang-kadang teks ini juga dikenali sebagai Sāṅkhya-saptati. Sāṅkhyakārikā mengandungi eksposisi doktrin-doktrin yang ringkas dan padat. Terdapat dua ulasan buku ini iaitu Sāṅkhyakārikā-bhāṣya oleh Gauḍapāḍa (700 Masihi) dan Sāṅkhyatattva-kaumudī oleh Vācaspati (840 Masihi).

Sāṅkhyasāra oleh Vijñānabhikṣu dan Sāṅkhyapravacanasūytravṛtti oleh Aniruddha (kurun ke-15 Masihi) ialah dua karya lain yang penting.

Asal-usul

Menurut beberapa pendapat, sistem ini mendapat namanya daripada perkataan 'saṅkhyā' (= nombor) kerana ia mengutarakan bahawa terdapat 25 prinsip dalam ciptaan. Menurut satu pendapat yang lain pula, oleh kerana sistem ini mengutarakan jnana atau ilmu sebagai satu-satunya jalan kebebasan atau moksha (dipanggil sebagai 'kaivalya' dalam sistem ini), dan 'saṅkhyā' bermaksud ilmu (samyak khyāyate), perkataan ini padan dengan sistem ini.

Sistem Sankhya tidak menerima kewujudan Īśvara atau Tuhan. Oleh itu, sistem ini juga dikenali sebagai Nirīśvara Sāṅkhya ('Sāṅkhya tanpa Īśvara).

Kaedah Ilmu

Sistem Sankhya hanya menerima tiga Pramāṇa atau sumber ilmu yang sah iaitu: pratyaksa (pengalaman terus), anumana (inferensi), dan sabda (keterangan lisan). Dengan menggunakan prinsip 'daripada yang dilihat kepada yang tidak dilihat atau daripada yang diketahui kepada yang tidak diketahui,' falsafah Sankhya telah merumuskan semua realiti alam ini kepada dua perkara asasi dan abadi: Prakṛti (juga dikenali sebagai pradhana dan avyakta) iaitu alam dan benda-benda bukan hidup, dan Purusha (jiwa atau roh).

Alasan yang lazimnya diberikan untuk kesimpulan ini dinamakan sebagai 'Satkaryavada,' iaitu prinsip bahawa kesan (= karya) telah wujud (= sat) dalam sebab (= karaṇa). Contohnya, semasa periuk dibuat daripada tanah, periuk telah pun wujud secara potensi dalam tanah. Ini kerana sesuatu tidak boleh wujud daripada kekosongan.

Pemakaian prinsip ini dalam kehidupan seharian manusia ialah bahawa semua objek mempunyai tiga sifat-sifat utama - suka, duka dan tidak peduli. Menurut Sankhya, tiga sifat-sifat ini tentu dihasilkan oleh tiga unsur asasi. Sifat-sifat ini dinamakan guṇa - sattvaguṇa (menyebabkan suka atau kegembiraan), rajoguṇa (menyebabkan duka dan penderitaan), dan tamoguṇa (tidak menyebabkan suka atau duka). Setiap guṇa ini menggambarkan keadaan realiti fizikal yang berlainan. Sattva mewakili segala kesucian dan kebaikan, dan ia menghasilkan ilmu dan kebahagiaan. Rajas pula bersifat sentiasa aktif dan ia bertanggungjawab untuk menyebabkan keinginan dan impian, dan seseorang perlu sentiasa aktif untuk mencapainya. Tamas pula menyebabkan kelembaban, kemalasan dan mendorong tidur.

Ketiga-tiga sifat ini wujud bersama-sama dan tidak boleh dipisahkan. Apabila tiga guṇa ini yang sentiasa bergelora wujud dalam keadaan tenang, seimbang, meskipun aktif atau sentiasa bertindak, ia menjadi Prakṛti atau Pradhāna. Dalam kata lain, Prakṛti ialah ketiga-tiga guṇa ini dalam keadaan keseimbangan.

Prakṛti merupakan unsur bahan material yang asas, jirim purba yang menyebabkan alam semesta ini. Prakṛti adalah jaḍa iaitu ia tidak mempunyai kesedaran. Sebaliknya, Puruṣa atau roh merupakan benda hidup yang mempunyai kesedaran sebagai intipatinya. Puruṣa adalah abadi, kekal suci dan kekal tersisih dan merangkumi segala-galanya. Roh tidak terkira, sama seperti benda-benda hidup yang tidak terkira.

Proses Evolusi Alam

Ciptaan atau evolusi alam semesta ini bermula dengan pertemuan antara Puruṣa dan Prakṛti. Karma-karma terkumpul daripada semua roh menyebabkan gangguan keseimbangan tiga guṇa-guṇa dalam Prakṛti lalu mencetuskan proses evolusi.

Proses evolusi berlaku seperti ini: Pertembungan dan percampuran guṇa-guṇa melahirkan mahat atau buddhi (intelek kosmik). Mahat pula melahirkan ahankara (ego kosmik iaitu keindividuan). Bahagian ahankara yang bersifat Sattva pula melahirkan manas (minda kosmik), lima jñānendriya (organ ilmu seperti mata dan telinga) dan lima karmendiya (organ tindakan seperti kaki dan tangan). Bahagian ahankara yang bersifat Tamas pula melahirkan lima tanmātra (unsur-unsur halus air, api, dan sebagainya), dan seterusnya lahir lima mahābhūta atau unsur-unsur kasar air, api, tanah, udara dan angkasa.

Belenggu dan Kebebasan

Menurut falsafah ini, matlamat evolusi Prakṛti menjadi dunia ini ialah untuk memberikan satu lagi peluang kepada Puruṣa untuk mencapai kebebasan. Sebenarnya, Prakṛti sendiri dalam evolusinya yang menyebabkan Puruṣa dibelenggui sekali lagi. Puruṣa dibelenggui kerana aviveka (kejahilannya tentang dirinya sebagai kesedaran tulen dan tidak dapat membezakan dirinya daripada benda bukan hidup). Kejahilan ini yang menyebabkan roh lahir dan mati berulangkali. Bagaimana dan bilakah roh terperangkap dalam kitaran ini tidak boleh dijawab kecuali dengan mengatakan bahawa ianya adalah anādi (tanpa permulaan) tetapi sānta (mempunyai penghabisan).

Oleh kerana belenggu ini disebabkan oleh kejahilan, kebebasan atau kaivalya hanya boleh dicapai dengan vivekakhyāti atau ilmu yang betul. 'Khyāti" bermaksud Ilmu yang betul iaitu ilmu yang diperolehi daripada pengalaman terus. 'Viveka' bermaksud membebaskan diri daripada Prakṛti dan menyedari dirinya sebagai Purusa. Ini boleh dilakukan dengan mengikuti lapan langkah yoga dan melakukan meditasi ke atas Puruṣa atau roh.

Mazhab ini menerima dua jenis kebebasan : jivanmukti dan videhamukti. Jivanmukti dicapai ketika seseorang masih hidup dan jasad orang itu akan hidup sehingga prarabdhakarma orang itu dihabiskan. Kebebasan akhir yang dicapai selepas kematian badan dikenali sebagai 'videhamukti'. Orang yang mendapat videhamukti tidak akan kembali ke dunia ini lagi. Dia akan kekal bahagia.